Ahad, Januari 25, 2009

Pilihan-Nya


Bismillahirrahmanirrahim


Benua yang Dua


Titip-titipkan ke mari
sejahtera dari benuamu
biar pun hanya secalit bahagia
kami pasti tidak menangis lagi

Terus-teruslah di sini
disenjatai doa dari hatimu
biar setitis kekuatan membasahi
kami pasti tidak kehilangan di sisi

Senang-senang di sana
benteng dirimu dengan iman dan ilmu
biar saat jika kami tiada nanti
ada yang mengganti barisan keadilan ini

Hari-hari di sini
Tuhan menyisip rahmat ujian penuh setia
gentar dan khauf bukan pada kami
benar; kami adalah terpilih dalam pilihan-Nya.

Raehan Intisor
Skudai, Johor.
(Berita Harian [Sabtu]- 21 Feb 2009]

[Wa'dun lil Ghazah, janji untuk Gaza: sudahkah terpunya?]

3 ulasan:

Lukhman Al-Yusufi berkata...

AKU MALU KEPADAMU, YA RASULULLAH

Saudaraku di Palestin amatlah berani
saudaraku di Palestin amatlah patriotik
saudaraku di Palestin gilakan ganjaran syahid
mereka pertahankan syiar Islam
mereka lindungi Bumi Anbiya’
daripada penjenayah Rejim Zionis Yahudi

Aku bangga akan mereka, ya Rasulullah
aku cemburu akan mereka, ya Rasulullah

Di sudut yang lain
kedengaran suara wanita dan kanak-kanak
mereka meraung, merintih, merayu
“Hulurkanlah bantuan kepada kami!
Kami memerlukanmu, wahai saudaraku!”

Aku malu kepadamu, ya Rasulullah
aku malu untuk bertemu denganmu pada Hari Akhirat
pada ketika mereka yang syahid di Gaza
bangun dengan lumuran darah pada badan mereka

Aku malu kepadamu, ya Rasulullah
aku malu untuk menjawab soalan Allah
“Mengapa kamu sekalian tidak membantu mereka?”

Aku malu kepadamu, ya Rasulullah
tatkala umat Islam di Palestin bertarung nyawa menghadapi maut
kami di sini lemas dalam keseronokan
kami di sini khayal sambil menuju ke arah kehancuran
kami di sini disuap dengan kemewahan dunia
kami di sini dipekakkan dengan janji-janji manis tin kosong
dan kami tidak dapat berbuat apa-apa ke atas saudara kami

Aku malu kepadamu, Ya Rasulullah
tatkala saudara kami bergelut dengan maut
kami di sini berbalah sesama sendiri
hanya kerana berbeza fahaman
hanya kerana perbezaan yang kecil
saling tuduh-menuduh
“Merekalah sesat
dan kamilah betul.”

Aku sangat malu kepadamu, ya Rasulullah
umat apakah kami ini?
Kami telah menzalimi saudara kami sendiri
dan biarkan mereka kehilangan segala-galanya:
kehilangan orang yang tersayang;
kehilangan kehidupan yang seharusnya mereka nikmati,
dan biarkan mereka menunggu maut:
diseksa dengan sebuas-buasnya oleh Rejim Zionis;
para belia dibogel dan dijemur
di bawah sinaran mentari oleh Rejim Zionis.

Aku malu kepadamu, ya Rasulullah
kami biarkan peristiwa berdarah Karbala berulang di Palestin
kami biarkan peristiwa berdarah 10 Muharram kembali semula
dan kamilah penduduk Kufah yang khianat
melihat saudara kami dibunuh, dibunuh dan dibunuh

Adakah ini permulaan kepada kehancuran kami?
Adakah ini pendahuluan kepada pengakhiran kami?
Atau
Adakah ini permulaan kepada kemenangan kami?

Abdul Hakim Lukhman Al-Yusufi
Kompleks IPK Sarawak, Kuching
24 Januari 2008.

Ibn Ali berkata...

Assalamualaykum Dik Raden,

puisi kamu cantik sungguh, sayang, ana tak reti bersajak. Biasalah, Allah beri kita satu kelebihan, Allah tak lebihkan kita satu kelebihan. Dan untuk orang yang sentiasa dilebihkan, dia ada tanggungjawab untuk dilakukan dengan kelebihan yang diberikan.

Puisi selepas kamu tu apa hal? Tak habis-habis mencucuk luka lama dengan lidi satay?

aisyah berkata...

salam ukhti fillah,
masyaallah sedap jiddan.. tersentuh ana.. edarkanlah kat sekolah kita time ROQ mesti best!